Thursday, November 25, 2010

INILAH SUAMI YG BERWIBAWA


Suami yang berwibawa adalah seorang yang serba sedikit mampu memimpin. Tidak pula dituntut sehingga mencapai ciri-ciri kepimpinan negeri atau negara. Cukup sekadar berupaya memimpin anak isteri. Memimpin anak isteri itu skopnya tidaklah terlalu luas seperti memimpin masyarakat. Namun mestilah boleh menyelesaikan tuntutan asas kehidupan berkeluarga. Di antara ciri-ciri wibawa suami di aspek kepimpinan ialah:

a.Rumah sebagai masjid, dewan kuliah dan pusat pendidikan.

Inilah perkara pokok yang seorang suami perlu wujudkan dalam rumahtangga. Dinisbahkan masjid sebenar di zaman salafusoleh masjid adalah tempat paling banyak menyebut nama Tuhan dengan berbagai-bagai jenis ibadah khususiyah. Di masjid tempat tenteram, tenang, damai. Tempat di mana nama Tuhan dibesarkan dan diagungkan. Tempat hamba-hamba-Nya tersungkur menghina diri.Di dalam rumah sering diadakan kuliah pendek atau peringatan singkat khusus selepas solat berjemaah, waktu makan bersama dan menjelang tidur. Boleh juga diadakan perbincangan dan membentangkan perkembangan terkini anggota keluarga.

Suami mencorakkan rumahtangga sebagai tempat membangun dan menyuburkan jiwa. Pusat pendidikan yang melahirkan peribadi agung, terutamanya melalui solat. Suami adalah modelnya dalam aspek ilmu dan minda, ibadah, akhlak dan kepimpinan. Gambaran yang ada di tengah masyarakat itu bermula di rumah. Sekiranya rumah itu benar-benar dihidupkan sebagai pusat pendidikan, nescaya lahirlah juga anggota masyarakat yang agung kerana gabungan dari individu yang memiliki peribadi agung.

b. Memberi ilmu dan pengajaran

Suami wajib mampu memberi ilmu atau pengajaran dalam soal-soal fardhu ain. Fardhu ain itu sememangnya wajib bagi setiap mukallaf. Ertinya tidak boleh diabaikan. Atau haram dan berdosa bagi mukallaf tidak selesai fardhu ainnya. Maka dalam keluarga suamilah yang wajib menyelesaikannya. Kalau difahami dalam aspek ini, tentulah tidak timbul sebarang kesukaran kerana ianya memang diwajibkan ke atas diri suami itu sendiri. Selepas itu perlu disampaikan kepada anak isteri.

c. Mendidik

Mendidik, mengasuh, membimbing adalah sama sekali berbeza dengan memberi ilmu dan mengajar. Di sini berlaku salah faham yang amat berat di dalam masyarakat hari ini, yang mana masyarakat beranggapan apabila mereka menghantar anak ke sekolah maka berlakulah pendidikan. Sebenarnya apa yang disifatkan sebagai pendidikan atau tarbiah hampir-hampir tidak berlaku langsung di mana-mana pun di dunia, hatta dalam pengajian agama termasuk pondok dan tahfiz. Semuanya bersifat memberi ilmu semata-mata tanpa adanya didikan.

Seorang suami yang berwibawa itu mampu mendidik hatinya sendiri, kuat bermujahadah sehingga nafsunya tunduk. Iman dan taqwanya pula mampu disuburkan. Di sinilah letak faktor utama kejayaan suami mendidik isteri. Kerana maksud mendidik isteri ialah membersihkan hatinya dari mazmumah, mengekang nafsu dan menyuburkan iman dan taqwa. Andainya suami gagal mendidik diri maka akan gagal pula mendidik hati isteri. Mendidik ialah proses berterusan umpama menitiskan air di atas batu. Air satu tasik dicurahkan sekaligus kepada sebuah batu tidak memberi kesan apa-apa. Titisan yang berterusan menjadikan batu lekuk. Hati manusia yang keras itu mestilah dititiskan dengan rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang akhirnya menjadi cair. Barulah didikan itu dikira berjaya.

c. sabar

Dalam bahasa Melayu erti sabar ialah tahan. Suami yang tidak sabar bukan saja hilang wibawa bahkan sangat mencemarkan maruah dirinya. Suami yang pemarah, baran, kaki berang, suka mengherdik, menjegil, suka bertengkar dan meninggi suara akan hilang daya tarikan. Mungkin isteri sanggup mendiamkan diri, patuh dan kelihatan menyetujui, tetapi tidak lagi atas kerelaan, melainkan dengan berat hati, terpaksa kerana takut.

Ketenangan suami itu menjadikan hati isteri sejuk, aman dan tenteram. Isteri akan lebih mudah menerima tunjuk ajar dan didikan sekiranya suami bersifat sabar. Para rasul yang mendapat darjat Ulul Azmi adalah kerana mereka sangat sabar dalam mendidik manusia. Kerenah manusia tidak sampai menggugat hati mereka. Mereka tidak merajuk, kecewa, putus asa bahkan sentiasa mengharapkan kaumnya akan berubah juga satu masa nanti. Begitulah sifat suami berwibawa apabila dia amat sabar menunggu perubahan pada diri isterinya. Sekiranya masih belum berubah, dia tetap yakin bahawa Tuhan belum kehendaki lagi dan dia tetap menyalahkan diri sendiri yang belum bertaqwa, maka lantaran itu Tuhan tidak membantunya.


e. penghibur dan pengubat.

Sudah menjadi sunnatullah bahawa manusia tidak terlepas dari ujian dan musibah. Isterilah yang sering dilanda kesedihan. Hati mereka mudah tersentuh atau terguris perasaan. Andainya tidak dibendung, kadang-kadang boleh sampai mencacatkan aqidah bilamana mereka merasa amat kecewa dan putus asa. Seolah-olah putus dari rahmat Tuhan atau terlintas di hati mempersoalkan takdir Tuhan.Kalaupun tidak sampai ke tahap itu, kesedihan yang keterlaluan juga boleh menjejaskan kehidupan harian. Selain terabai urusan harian, adakalanya berlarutan untuk tempoh yang lama.

Suami yang tidak berwibawa, dia pun terikut sama dengan situasi isteri. Kalau ini terjadi maka bertambah buruklah padahnya kerana isteri merasakan sikap kecewanya itu disertai oleh suami. Suami yang berwibawa akan berusaha menghilangkan kesedihan dan kekecewaan isterinya. Ketika itu suami menjadi penghibur kepada kesedihan dan pengubat kepada kekecewaan.

Selain memahamkan kepada isteri bahawa setiap ujian dan musibah itu adalah kerja Tuhan yang mengandungi hikmah dan pengajaran, suami juga mesti meyakinkan bahawa salah satu maksud Tuhan yang paling utama ialah agar kita merasakan diri ini adalah hamba yang sangat lemah dalam berhadapan dengan kuasa Tuhan. Agar kita benar-benar merasai kehambaan yang mendalam sehingga banyak perkara dalam hidup ini yang kita benci, tetapi itulah yang Tuhan datangkan, dalam keadaan kita tidak berupaya menolaknya. Banyak perkara yang kita mahu tetapi tidak dapat mencapainya. Maha Besar Tuhan dan Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

f. mengetahui asas-asas saikologi isteri

Apa faedahnya memiliki suami macho, tampan, segak, sasa, handsome seandainya dia seorang yang ego, sombong, mementingkan diri dan syok sendiri. Malah tentu amat menyakitkan hati sekiranya diri isteri itu tidak diambil perhatian. Atau dia kurang mengambil berat tentang diri isterinya. Dia bersikap ‘one-way’ atau sehala saja yakni mengharapkan isteri memberi perhatian atau memenuhi kehendak dirinya saja. Tentulah akan bertambah menderita seorang isteri apabila suami begini akan berbuat sewenangnya kerana dia ada modal untuk menawan lebih ramai wanita, satu pergi sepuluh mari. Dia pula memang tahu bahawa isterinya tertarik pada dirinya kerana tampan dan segak itu, pasti isterinya tidak akan ke mana andainya dia bersikap angkuh. Sekiranya ini berlaku maka inilah yang dikatakan sedap di mata saja. Iman dan taqwa saja yang dapat mengubat penyakit suami ini.suami yang berwibawa sangat memberi perhatian kepada isterinya. Dia mensyukuri pemberian Tuhan itu dan menjadikan satu amanah yang mesti ditunaikan.

Memperolehi isteri seolah-olah satu hutang kepada Tuhan yang wajib dilunaskan. Demi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai suami kepada isteri, maka dia bersungguh-sungguh mengenali isterinya. Agar dengan cara itu dia dapat memperelokkan hubungan dan dapat mengekalkan keharmonian keluarga. Selain itu mengenali asas saikologi isteri dapat membantu dalam mendidik dan membimbing sehingga ianya benar-benar berkesan.

No comments:

Post a Comment